Jumaat, 20 Disember 2013

sepucuk surat..


Ya Allah..ujian apakah ini? sepucuk surat sampai di rumah, "urusan seri paduka baginda" tatkala membuka lembaran surat itu, tuhan saja yang tahu apa perasaan saya.

"temujanji dengan pegawai perubatan". terkedu seketika. masalah apa ini, sehingga terpaksa bertemu pegawai perubatan. ayat yang terakhir membuatkan diri ini sedikit tersentap. "tuan/puan diinagtkan TIDAK  menderma darah di mana-mana selagi tuan tidak hadir sesi temujanji".

ya Allah, kenapa dengan darahku yang pernah di dermakan sebelum ini. sudah empat kali rasanya akau menderma darah. tidak pernah timbul masalah begini. sakitkah aku, adakah ajal semakin menghampiri? saya tidak mampu berkata apa-apa. segalanya diserahkan kepada ALLAH S.W.T.

Khamis, 19 Disember 2013

tanah kelahiranku



alhamdulilllah..tepat jam 7.00 am, 20 disember 2013, diri ini selamat menjejakkan kaki ke tanah kelahiran tercinta, Changlun, Kedah Darul Aman. kepenatan dalam bas mengharungi  perjalanan yang jauh seakan hilang setelah menghirup udara segar di kampung halaman. kepenatan hilang apabila terpandangkan wajah-wajah kesayangan yang terlalu dirindui.
   alhamdulillah, mereka sihat, terima kasih ya ALLAH kerana sentiasa melindungi mereka, memberi mereka kesihatan yang baik.
 

ilhamku..


lelaki itu, seorang pendiam, tidak banyak bercakap. namun jauh disudut hatinya dia seorang yang penyayang. dia tidak pandai menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. lelaki itu, lelaki pertama yang menyentuh saya, lelaki pertama yang saya tatap ketika dilahirkan.
     dia seorang yang tidak berpelajaran, atas faktor kemiskinan hidupnya dulu. dia berusaha memberi sebuah kehidupan yang baik kepada anak-anak. tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkahnya. dia mungkin tidak mampu memanjakan kami dengan kemewahan, tetapi kami tahu kasih sayangnya tiada nilai. terlalu berharga.
   ayah, lelaki yang kami sanjungi, yang kami hormati, yang kami kasihi. lelaki yang sudah bersusah payah berpuluh tahun demi kami sekeluarga. menara gading menjadi titik tolaknya, saya berjanji pengorbanan si tua itu akan saya balas.
    saat diberi tugasan untuk menghasilkan cerpen yang bertemakan "nostalgia" , berbagai cerita saya cuba imbas kembali untuk ditulis.pada saat akhir, idea belum menjelma. tiba-tiba sebuah perasaan rindu yang membuak-buak terhadap kampung halaman membuatkan saya terkenangkan ayah. lantas ilham itu menjelma, ayah akan dijadikan tonggak utama dalam penghasilan cerpen saya.
  " ayah, ayah sumber ilham kakcik, kerana ayah kakcik dapat hasilkan cerpen, walaupun tidak berbakat dalam penulisan kreatif, kakcik berjaya menghasilkannya.

dari 20 kepada 21..

Alhamdulillah..masih dipanjangkan umur oleh ALLAH S.W.T. 18.12.2013, genaplah usia 21 tahun. syukur yang tidak terhingga kerana masih diberi peluang bernafas di muka bumi ini. terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan diri ini.


terima kasih buat kedua insan yang telah membesarkan diri ini. tanpa mereka tidak wujud diri ini di muka bumi . mereka membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang. tiada limpahan kemewahan yang dicurahkan , hanya kasih sayang yang tiada nilainya. terima kasih mak, ayah.





terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang sudi menyambut hari kelahiran saya. kalian ibarat keluarga saya disini. sesungguhnya, kasih sayang antara kita ALLAH yang wujudkan. doa saya semoga ia berkekalan.

Sabtu, 14 Disember 2013

janji



"dan penuhilah janji,sesungguhnya janji itu pasti dituntut pertanggungjawabannya"( Al Isra- 34)

membuat janji itu sememangnya mudah, untuk menunaikannya itu susah kerana janji itu menggunakan mulut manakala untuk menunaikannya menggunakan pergerakan anggota badan.
Ramai diantara kita suka membuat janji tetapi sukar untuk menunaikannya. ingatlah manusia yang memungkiri janji itu tergolong dalam kalangan orang munafik. nauzubillah min zalik.. minta diri dijauhkan menjadi orang-orang yang munafik.
Rasullullah s.a.w di dalam hadis baginda telah mempercirikan golongan munafik dengan tiga ciri utama. dan antara ciri itu ialah memungkiri janji apabila telah berjanji.

"tanda-tanda munafik ada tiga. apabila berbicara, dia dusta. apabila berjanji, dia mungkiri. apabila dipercayai, dia khianat" ( HR. Muslim ).

ingatlah, jika telah berjanji, berusahalah sedaya upaya untuk menunaikannya.

"lembu dipegang pada TALI, manusia dipegang pada JANJI"


Jumaat, 13 Disember 2013

hijrah




Perjalanan menuju keredhaan Allah sentiasa memerlukan banyak penghijrahan dan pengorbanan. penghijrahan yang membawa diri lebih mendekati ALLAH S.W.T. bukan mudah untuk melakukan penghijrahan. 


                                 



                               

                                               

hati tunggak segalanya. hati selalu berbolak balik. sesuatu penghijrahan itu perlu dimulai dengan penghijrahan hati. hijrahkanlah hati terlebih dahulu, kerana hati mampu mengawal perbuatan kita, percakapan kita, tingkah laku kita. hati juga akan menguatkan kita untuk terus menerima dugaan dalam penghijrahan



setelah hijrah hati. barulah hati akan menggerak kita untuk berhijrah dari segi lain. muslimah terutamanya. berhijrahlah dari pakaian yang tidak sempurna agar menjadi sempurna menutup aurat .




tidak berbaloi juga andai pakaian sahaja yang berhijrah tetapi hati masih belum menerima penghijrahan. andai tekad untuk berhijrah, hijrahlah sepenuhnya, jaga perlakuan dan percakapan agar tidak menguris hati insan lain. sekadar ingatan buat diri sendiri. moga diberi jalan oleh ALLAH S.W.T untuk menuju keredhaannya. 







Jumaat, 6 Disember 2013

sumber inspirasi


kerana mereka saya wujud di dunia ini. kerana mereka saya disini. mereka kekuatan saya, semangat saya. mereke sentiasa ada kala susah dan senang, mereka ada kala menangis dan ketawa. bangganya rasa punyai mereka sebagai ibu bapa, hanya Allah yang tahu. mereka tidak kaya harta untuk diberikan pada anak-anak tetapi mereka kaya kasih sayang kepada anak-anak. seorang pendiam, seorang kuat berleter, satu gabungan yang sempurna. ayah dengan caranya, tidak selalu marah, mak dengan caranya, kuat membebel. tapi bagi saya, suara itu penawar, bisingnya bukan sengaja, bisingnya punya sebab. tanpa suaranya walau seketika, sunyi rasanya. ayah pula adakalanya boleh bergurau, tapi jangan sampai dia marah. mereka yang saya cintai, yang saya sayangi. sumber inspirasi, sumber ilham, sumber kekuatan dan ketabahan.



Khamis, 5 Disember 2013

sahabat



perwatakan kami berbeza. negeri kami berbeza. dialek yang berbeza. semua itu bukan penghalang. dialah sahabat, dialah keluarga disaat diri ini keseorangan diperantauan. dia ada saat senyuman terukir di bibir, dia ada saat hati resah gelisah. gelak ketawa kami bersama, makan bersama, ke kelas bersama, walaupun berlainan gaya percakapan, perkara itu merapatkan kami.semakin hari semakin saya padanya. tipu kalau kami tidak pernah berselisih faham, tetapi perkara itu mematangkan kami, membuat kami lebih mengenali antara satu sama lain. kepada Azimah, aku sayang kau, kau tahu susah senang aku dekat sini, kau ada untuk dengar semua masalah aku, kau tempat aku bercerita. aku harap hubungan persahabatan ini kekal sampai syurga, aku harap kau tak lupa aku bila kita habis belajar nanti, aku tahu kadang-kadang aku ada sakitkan hati kau, maafkan aku, aku sayang kau azi.

Rabu, 4 Disember 2013

fire drill


sesuatu yang agak memenatkan apabila menerima mesej di awal pagi dan kandungan mesej tersebut langsung tidak diduga. "bersedia ke bilik rawatan, akan diadakan latihan kebakaran. memang sudah sedia maklum, pihak kolej akan mengadakan fire drill dan kami pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia diminta untuk bersedia. fire drill yang tamat hampir pukul 4 pagi memang sesuatu yang memenatkan. hari ini kesan dari fire drill tersebut, badan menjadi lesu, mata seakan-akan sukar untuk  dibuka seluasnya. letihnya, rasa seperti ingin  menyambung tidur seusai solat subuh, tetapi ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. menghadiri kelas, itu tanggungjawab saya.

Ahad, 24 November 2013

mesej dan mimpi


  

study week...selama saya disini tidak pernah saya pulang ke kampung pada cuti study week, alasannya saya mahu fokus untuk final exam. namun, pada semester ini, ada juga berniat untuk pulang kerana ada majlis walimatulurus sepupu saya. selepas berfikir dan berfikir saya membatalkan niat itu. beberapa hari selepas membatalkan niat itu, saya menerima kiriman mesej dari kakak di kampung, katanya "mak suruh balik".Allah, suruhan seorang ibu, adakah perlu untuk saya menghampakannya. saya masih lagi tidak membuat keputusan, dan pada hari ini dalam lena yang enak, saya termimpikan ibu daatang ke sini dengan niat membawa saya pulang. Allah..Allah...rindu rasa hati ini, sayu hati ini, kerana dengan harapan apabila membuka mata insan itu benar-benar ada, tapi sayang, pertemuan itu hanyaa di alam mimpi.


Sabtu, 23 November 2013

Ya Allah..terima kasih


Alhamdulillah.. Allah mendengar permohonan dan rintihan hambanya.  mohon dilapangkan dada, dipermudahkan segala kerja,diberi fikiran yang cerdas dan sentiasa bersabar. Allah..Allah..doa hambanya yang hina ini didengari. dengan bantuan-NYA..segalanya menjadi mudah. terasa seperti ada beban yang berkurang di bahu.Yakinlah pada Allah, kerana dia Maha Mengasihani. Allah tidak pernah melupakan hamba-hambanya, sebaliknya, hamba-hambanya yang selalu melupakan Allah, dicari ketika dalam kesusahan, dilupakan apabila senang. sekali lagi hamba memohon, jauhilah hamba dari bersifat demikian.

Jumaat, 22 November 2013

bercabang-cabang


pada saat ini dan ketika ini..otak seperti reranting pohon yang bercabang. kerja yang menunggu terlalu banyak. serba tidak kena jadinya, mana tidaknya, ambil yang A untuk disiapkan, terfikir pada si B,belum sempat menyentuh si B, si C seolah-olah memanggil untuk disiapkan. keadaan menjadi huru-hara seketika. berhenti sejenak dan berfikir, kalau begini keadaannya, sampai bila pun masalah tidak selesai. lalu diri ini ditenangkan seketika, langkah penyelesaian diambil, siapkan yang perlu dahulu buat masa sekarang untuk mengurangkan reranting di kepala. pengajarannya disini, jangan lengah-lengahkan kerja serta pengurusan masa yang baik amat penting.

Jumaat, 1 November 2013

negeri orang



jauh perjalanan luas permandangan...sekali-sekala berjalan ke negeri orang memcari pengalaman.
negeri cik siti wan kembang menjadi pilihan. rindu pada keluarga yang menggunung saya tahankan untuk mencari sebuah pengalaman. melangkahnya kaki menaiki si kotak merah itu, hujan mulai turun. hujan yang turun itu bagai rahmat yang mengiringi perjalanan saya. pada ayah bonda telah dikhabarkan akan pemergian ke negeri cik siti wan kembang, restu telah dipohon..moga segalanya baik-baik sahaja sehingga sekembalinya ke gedung ilmu nanti.

Rabu, 30 Oktober 2013

alam dan manusia


hari ini, petang ini, bumi UKM dibasahi hujan. seketika sebelum hujan, saya berdiri di sisi jendela kamar. anginnya kuat, awannya kelam, pepohon bergoyang, meliuk lentok. tiba-tiba hati ini sebak, ada sesuatu disebalik permainan alam ini yang seakan-akan sama apa yang dirasa hati kecil saya. bait-bait di bawah saya hasilkan melalui pandangan alam yang terhidang di hadapan mata.

        Desir angin menggerakkan reranting pohon itu,
        Kelihatannya seperti ada tangan-tangan yang melambai,
        Kulihat langit, awannya kelam,saratnya hujan menunggu masa gugur ke bumi, 
        Kelihatannya seperti diriku, yang tubirnya digenangi air,menunggu waktu untuk gugur,
        Ku lihat liuk lentok alunan pepohon ditiup angin, 
        Kelibatnya aku dapat merasa ada bayang wajah yang dirindui bermain di tubir mata,
        Itulah lumrah alam, seakan mengerti isi hati si penghuninya.

begitulah alam, seakan memahami jiwa manusia.

Ahad, 20 Oktober 2013

selamat kembali


seminggu merehatkan diri di kampung tercinta..kini saya pulang semula. pulang untuk meneruskan perjuangan..perjuangan yang masih panjang. p belum terubat rasa rindu yang menggunung, terpaksa berpisah lagi, tapi perpisahan ini demi sebuah perjuangan, sebuah harapan yang perlu dilaksanakan. sedih pilu dihati akan disematkan jauh si sanubari, kerana rasa itu akan mengganggu perjuanganku..perjuangan untuk sebuah harapan.

Khamis, 17 Oktober 2013

kebahagiaanku


apabila melihat telatah mereka, terkenang kembali ketika saya masih kecil, bermain, bersuka ria tanpa perlu memikirkan sebarang masalah. mereka kebahagian kami sekeluarga, permata hati yang dikurniakan ALLAH buat keluarga besar saya dan semakin besarlah keluarga saya. kadangkala memenatkan melayan karenah mereka yang semakin membesar, kadangkala mereka pengubat segala keletihan dan kepenatan. "acik" gelaran buat saya..setiap kali pulang ke kampung, keletihan menempuh perjalanan yang panjang terubat dengan telatah mereka.hari raya tidak pernah sunyi dirumah saya, begitu juga pada hujung minggu pabila mereka pulang ke kampung,ada sahaja telatah mereka yang mencuit hati, menimbulkan kemarahan dan sebagainya, rumah menjadi riuh dengan kehadiran mereka. kesunyian akan melanda tatkala mereka pulang ke rumah masing-masing. sekarang mereka berlima kerana si kecil "yaya" baru mengenal dunia . tunggu saat dan ketika si kecil "yaya" mulai membesar, pasti bertambah meriah. kepada Muhammad Afi Naufal (mamat), Muhammad Aliff Naufal(bulat), Luqman Hakim(adam), Luqman Haqiz(ajiq), Ain Zulaikha(kakak) dan Ain Zahraa (yaya) acik doakan semoga kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah kepada ibu dan abah kalian, menjadi anak yang berguna, taat kepada agama. sesungguhnya kehadiran kalian memberi seribu makna dalam hidup kami semua( acik, acu, tok, tok wan, paklong, paktam, serta ibu abah kalian semua)

sejuknya bumi


Alhamdulillah..sejak hari pertama menjejakkan kaki di bumi jelapang padi, di pekan kecil kesayanganku iaitu Changlun, ALLAH menurunkan rahmat hujan pada setiap hari. boleh dikatakan setiap hari bumi jelapang padi dibasahi hujan..adakala timbulnya pada seawal pagi, ada harinya pada ketika semua manusia diulit mimpi, ada ketika sepanjang hari ia turun. manusia kadangkala merungut pabila hujan menimpa bumi , katanya mengganggu aktiviti harian dan sebagainya, Subhanallah , jangan merungut kerana setiap yang Allah jadikan itu ada kebaikannnya, masih ada hidupan di bumi ini memerlukan hujan. bersyukurlah Allah masih menurunkan hujan buat kita. hari ini  di bumi jelapang padi, hujan turun lagi, Alhamdulilllah..sejuk bumi.

Isnin, 14 Oktober 2013

kali kedua


kek batik...percubaan kali kedua, hari ini atas desakan kakak kesayangan saya hasilkan kek batik untuk kami sekeluarga, walaupun tidak berapa mahir, alhamdulillah kek batik tersebut menjadi. kek coklat moist sinonim dengan saya setiap kali hari raya, tetapi berbeza untuk hari raya aidiladha kali ini kerana tiada kek coklat moist tetapi diganti dengan kek batik. di kesempatan ini saya ucapkan selamat menyambut hari raya aidiladha kepada semua umat islam.

Ahad, 13 Oktober 2013

jauh perjalanan


lapan jam..satu jangka masa yang panjang, namun demi sebuah rindu yang menggunung, saya gagahi menempuhnya. walaupun bukan saya yang memandu, keletihannya tetap terasa. jam 6.00 pagi, kaki ini akhirnya memijak lantai bumi Changlun yang dirindui. ALLAH..ALLAH.. alhamdulillah, akhirnya sampai juga di pekan kecil saya membesar, itu baru menjejakkan kaki ke pekan Changlun, terasa terubat segala rindu, bagaimana agaknya sampai ke kampung halaman yang jaraknya kira-kira 15 minit perjalanan. setibanya di rumah, tenang, lapangan fikiran melihat kehijauan kampung Lembah Palas, kampung tempat bermain, membesar, jatuh bangun seorang insan yang kini sedang berusaha mencapai kejayaan. semangat-semangat saya ada di kampung ini, kepulangan sekali-sekala, membantu saya mencari semangat yang semakin berkurang. seminggu satu jangka masa yang agak terhad, namun akan dimanfaatkan sepenuhnya.


kelekaan menghirup udara segar dan juga dengan pelbagai aktiviti yang padat membuatkan entri ini baru dimasukkan.

Rabu, 9 Oktober 2013

hilang


terlalu sukar untuk ia menjelma dan apabila ia menjelma, langsung ku coretkan ia agar aku tidak kehilangan.
adakah aku cuai? telah lengkap sempurna apa yang ku coretkan atas selembar kertas kecil, namun ia hilang jua. cuainya aku. bukan mudah untuk ia menjelma, kerana aku bukan insan terpilih yang punya bakat semulajadi.ia muncul terkadang cuma, tapi aku x tahu menghargai..kini aku kehilangan ia..kehilangan yang membuatkan rasa ingin marah, tapi pada siapa harus diluahkan..ia bukan salah sesiapa melainkan aku yang cuai..ia dah hilang..hilang!!

Selasa, 8 Oktober 2013

wanginya...



bau itu menjengah rongga hidungku lagi. bau yang suatu ketika dahulu aku minati..aku masih mencari dimana letaknya keistimewaan haruman itu...sungguh-sungguh aku suka. dalam beribu manusia di sekelilingku..aku jarang terhidu bau itu..adanya cuma kadang-kala. hari ini ia menjengah lagi...lintasan bayang sesusuk tubuh membuai deria bau ku..sudah lama aku tidak menghidu haruman itu..hari ini ia menjengah semula..wanginya menusuk jauh ke dasar hati. ingin sekali aku mengetahui punca ia menjadi istemewa dan sentiasa diingatanku.

Jumaat, 4 Oktober 2013

satu penyesalan


menyesal kemudian tiada gunanya....hanya itu yang mampu diperkatakan. dari jauh terlihat kelibatnya, dalam hati begitu teruja, ingin aku bertegur sapa bersama beliau. namun apabila kelibatnya menghampiri  di suatu sudut aku berdiri, aku menjadi kelu, terasa begitu kerdil diri ini untuk menghampiri dan menegur beliau yang mempunyai pengaruh dan dikenali ramai. aku hanya membiarkan beliau mengatur langkah tanpa aku berbuat sesuatu, apabila kelibatnya mulai menghilang dari pandangan, tunas-tunas penyesalan mulai tumbuh, membiak dalam sanubari..kalau aku punya sedikit  keberanian sebentar tadi..tunas-tunas penyesalan itu tidak akan menggangu ruang sanubariku..semua itu telah berlalu dan aku biarkan ia berlalu pergi.

Rabu, 25 September 2013

buluh bedil @ cakplong



Buluh bedil atau dikenali sebagai cakplong di kalangan masyarakat Kedah. Sejenis permainan yang diperbuat daripada buluh dan pelurunya menggunakan buah cenerai. Permainan yang popular di kalangan kanak-kanak lelaki. Saya ada pengalaman bermainnya bersama abang.Tatkala fikiran menggembara mencari ilham untuk dicoretkan, saya terkenangkan nostalgia bermain cakplong.                                                                
            Apabila tiba musim buah cenerai, perdu-perdu buluh akan menerima tetamu-tetamu cilik yang bertandang bersama golok atau parang pendek. Buluh-buluh terbaik akan dipilih untuk menghasilkan cakplong. Mohd Faizul atau abang shon merupakan pakar membuat cakplong, ada saja kanak-kanak yang tidak pandai membuat cakplong akan datang mencarinya..abang shon ialah abang saya yang merupakan anak kelima dalam keluarga. Saya merupakan salah seorang kanak-kanak yang selalu meminta dibuatkan cakplong apabila musim cenerai tiba. Namun, abang shon agak keberatan memenuhi permintaan saya, katanya saya perempuan, tidak elok bermain cakplong, bahaya katanya. Namun, saya tetap berdegil, lalu abang shon berkata "kalau nak main cakplong dengan kami, hang pi cari buluh sendiri, kalau ada buluh aku buat bagi...hahahahaha, akhirnya berjaya juga saya memujuknya. Mencari buluh bukan suatu masalah bagi saya, lalu saya mengambil parang pendek dan mengajak Dikja menemani saya. Setelah penat mencari buluh, saya kemudiannya pergi mencari abang shon untuk menuntut janji. Apabila terlihat kelibat sya bersama buluh, abang syon terpaksa akur dan memenuhi permintaan saya, agak lama menunggu akhirnya, cakplong saya siap juga dan bersedia untuk membedil. Agak sakit jika terkena peluru cakplong, tapi itu tidak menjadi masalah, sakitnya sekejap saja asalkan kami seronok.

        Tika jemari mencoretkan cerita ini, terasa ingin kembali ke masa lalu, mencari kecerian dan keriangan suatu tika dahulu, keriangan yang menceriakan zaman kanak-kanakku, namun itu semua khayalan, khayalan yang membuai perasaan

     

Sabtu, 21 September 2013

Ubi punya cerita



Ini kenangan manis saya dan Dikja yang tidak akan saya lupakan...cerita ini cerita ubi.

Cerita ini bermula apabila pada suatu hari kami bersama-sama duduk di pondok kecil di hadapan rumah Dikja, fikiran kami buntu, sudah tidak tahu permainana apa yang patut kami main pada hari itu. Tiba-tiba, saya teringatkan ubi kayu yang ditanam oleh nenek di kawasan berhampiran rumah saya, saya mencadangkan agar kami pergi mengambil ubu kayu itu dan membakarnya untuk dimakan. Akhirnya cadangan saya diterima oleh Dikja...kami memulakan misi. Langkah pertama, kami ke rumah nenek untuk untuk meminta sedikit ubi kayu dan nenek memberi keizinan. Setelah puas bertungkus lumut untuk mengeluarkan ubi itu dari tanah, kami berhasil. Langkah yang kedua, kami pergi ke kebun di belakang rumah saya untuk mencari kayu api. Setelah siap mengumpul kayu api, saya pulang  ke rumah meminta wang RM 1 daripada emak untuk membeli mancis, kemudiannya kami kembali ke rumah Dikja dengan membawa ubi kayu dan kayu api. Dikja meminta wang dari emaknya, setelah itu kami bersama-sama berjalan kaki menuju ke kedai runcit Pak Long Nan, kami membeli mancis satu kotak seorang dengan harga 20 sen dan bakinya kami gunakan untuk membeli keropok dan gula-gula.
                 Setelah semua bahan yang diperlukan tersedia, kami membuat unggun api untuk membakar ubi kayu. Setelah lama menunggu, ubi kayu yang dicampak ke dalam api menjadi hitam, petanda sudah boleh dimakan, melonjak riang kami melihat hasilnya. Namun, ubi kayu itu tidak dapat dimakan kerana hanya luarannya sja yang masak tetapi isi di dalamnya masih keras dan mentah. Tiba-tiba, mak cik Rokiah iaitu mak Dikja datang menjengah kami, lalu kami adukan pada makcik Rokiah, katanya api yang kami buat terlalu besar. Akhirnya, ubi yang masih belum dibakar itu di ambil oleh emak Dikja untuk dibuat kerepek. Semasa menunggu kerepek siap, kami bermain lagi. Ubi lagi yang menjadi barang mainan, tetapi kali ini bukan ubi kayu tetapi ubi keladi yang gatal, pada asalnya kami tidak tahu ubi itu boleh menyebabkan kegatalan, dengah ghairahnya kami menggorek ubi itu sambil bercadang untuk bermain "jual-jual", sambil tangan ligat mengeluarkan ubi keladi itu dari dalam tanah, mulut kami juga ligat menyebut "kami kaya...kami kaya".
        Sedang asyik bermain, emak Dikja datang, lalu dia memarahi kami, katanya kenapa main ubi itu, ubi itu gatal, tanpa berlengah kami terus membuang ubi-ubi itu dan selepas itu, tangan kami mulai merasa gatal-gatal dan menjadi kemerahan. Hahahahha...agak lucu bila terkenang peristiwa itu, inilah yang dikatakan, ubi punya cerita.

           

Jumaat, 20 September 2013

main tiang

Main tiang, satu permainan yang amat popular ketika berada di sekolah rendah. Asal ada masa terluang, kaki mula melangkah ke arah tiang laluan berbumbung disekolah..masing-masing berebut untuk bermain. Apabila loceng rehat berbunyi, semuanya gembira kerana selepas makan aktiviti bermain tiang bakal bermula..sepanjang laluan itu kelihatan di setiap tiang ada orang yang memegang dan keadaan ini menghalang guru-guru untuk berjalan. Acap kali perhimpunan mingguan pada hari ahad, guru disiplin akan memberi amaran agar tidak bermain tiang kerana menggangu laluan para guru..tetapi malangnya amaran itu tidak kami endahkan..yang penting kami seronok.

 Pengalaman bermain tiang bersama rakan-rakan pada suatu ketika dahulu sering menjelma tiap kali saya melalui kawasan pejalan kaki untuk pulang ke kolej kediaman..walaupun keadaannya tidak sama tetapi kenangan itu sentiasa muncul di layar fikiran.

Aku dan Dikja..


Famieza atau nama panggilan saya kepada dia "Dikja"...etah betul entahkan tidak, mak cakap kami berkawan dari dalam perut lagi..mungkin mak bergurau. Kami lahir pada bulan yang sama iaitu bulan Disember..tarikhnya cuma berselang 8 hari..mungkin disebabkan faktor itu kami sangat rapat. Dia satu-satunya sahabat baik yang saya ada suatu ketika dahulu..kami bersekolah di tadika yang sama, kampung yang sama, rumah berdekatan, bermain bersama, segala-galanya bersama. Semasa mendaftarkan diri di sekolah rendah, kami terpisah bilik darjah akibat kelewatan Dikja mendaftar masuk ke sekolah..tapi nasib menyebelahi kami apabila masuk darjah 3, kami sekelas, duduk bersebelahan. Kami memduduki kelas yang sama sehingga kami memasuki tingkatan 3, kami terpisah kelas semasa tingkatan 4 kerana dia memilih aliran seni dan saya pula aliran sastera,walaupun terpisah kelas itu tidak bererti kami terpisah, kami masih bersama, rehat, makan, main, tetap bersama.
          Nostalgia....begitu banyak nostalgia saya bersamanya, kalau hendak dicoretkan maka letihlah jemari saya. Dahulunya, masa kami banyak dinabiskan dengan main, main dan main. Pulang sahaja dari tadika, saya akan mandi dan makan, selepas itu, saya akan ke rumah Dikja untuk bermain bersama, sehingga tibanya waktu mahgrib barulah sya pulang ke rumah. Sebut saja permainan apa, kami ada pengalamannya, main pondok-pondok, cikgu-cikgu, polis-polis, bila tiba musim bermain layang-layang, kami juga turut serta bermain, jika terlihat orang pergi memancing, kami juga akan pergi. Kami selesa kemana-mana berdua, sehingga pernah suatu hari emak berkata "dari pagi sampai nak masuk waktu malam asyik berkepit saja..kalau la hampa dua orang nie, sorang laki sorang perempuan, dah lama mak suruh nikah.." hahaha..agak lucu apabila mak berkata begitu...sampai begitu sekali mak marah kerana saya selalu tiada di rumah. tetapi situasi berubah selepas adik saya lahir, kami banyak menghabiskan masa dirumah saya.
         Itu semua kenangan..kenangan yang tersimpan kukuh jauh di lubuk hati, andai masa itu dapat dikembalikan, alangkah indahnya...tapi itu semua mustahil dan akan terus tersimpan sebagai kenangan.

Khamis, 19 September 2013

menjadi kakak







Pengalaman menjadi seorang kakak....di penghujung usia 5 tahun, kami mendapat berita gembira, mak hamil lagi. Pada perkiraan saya, saya akan menjadi anak bongsu dalam keluarga, tetapi Allah mengurniakan saya seorang adik. Saya diberi peluang merasai pengalaman menjadi seorang kakak. Setiap hari saya bertanya kepada mak "mak..mak..bila adik nak keluar?". Saya begitu teruja untuk menantikan kelahiran adik..setiap hari saya memberitahu emak..bila adik keluar nanti saya nak jaga adik...sehinggalah pada tarikh 27 September 1997 adik selamat dilahirkan. Kelahiran adik menambahkan lagi keceriaan keluarga kami
      Setiap hari apabila pulang dari sekolah saya akan duduk disebelah adik, adakalanya saya membuat kerja sekolah yang diberikan disebelah adik. Saya akan menjaga adik bila mak melakukan kerja-kerja rumah kerana kakak-kakak saya yang lain bersekolah. Kini, adik saya sudah dewasa, bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan.
        Pengalaman menjadi seorang kakak memang menyeronokan...ada masa baik..ada masa kami bergaduh..dialah teman permainan saya..kemana saya pergi bermain dia akan saya bawa bersama. Walaupun, beza umur kami 5 tahun tetapi kami rapat..dialah teman saya bercerita, berkongsi masalah, berkongsi suka duka..kepada adikku SYAZA..belajarlah bersungguh-sungguh demi keluarga kita!



Rabu, 18 September 2013

20 sen

20 sen...jangan salah faham, 20 sen yang sedang saya bicarakan tiada kaitan dengan isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang. Saya mempunyai kisah tersendiri mengenai  20 sen. Menjejak nostalgia, 20 sen ini mengingatkan nostalgia zaman kanak-kanak saya...seorang pelajar tadika KEMAS berusia 6 tahun...

 " setiap pagi aku akan dihantar oleh ayah ke tadika sebelum ayah ke kebun untuk menoreh getah, pulangnya pula aku diambil oleh kakak ke-4 iaitu kak Suzi..setiap hari emak akan memberikan wang 20 sen kepada kak Suzi untuk diberikan kepada aku apabila pulang dari tadika..20 sen itu aku gunakan untuk membeli  permainan "LEGO " iaitu sejenis permainan yang mempunyai 6 keping yang dicantum menjadi kotak kecil dan didalamnya diisi dengan 2 biji gula-gula...setiap hari apabila pulang dengan membonceng basikal mini kak suzi kami berdua akan singgah di kedai runcit Pak Long Nan..lego itu aku kumpul sehingga aku mampu mencantumkannya menjadi bangunan,robot dan macam-macam lagi...hari-hari 20 sen..20 sen"

Itulah cerita 20 sen saya......

Selasa, 17 September 2013

Satu Permulaan

Alhamdulillah...akhirnya saya berjaya menghasilkan blog ini. Blog ini akan saya gunakan  sebagai tempat untuk mengimbau nostalgia sepanjang perjalanan hidup saya selama 21 tahun yang hasilnya akan saya coretkan menjadi sebuah cerpen.